PROGRAM CINTAILAH SUNGAI KITA, HARI RENDAH KARBON DAN “WORLD CLEAN UP DAY” ANJURAN MAJLIS PERBANDARAN KUALA SELANGOR TAHUN 2024
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah menganjurkan Program Cintailah Sungai Kita, Hari Rendah Karbon dan “World Clean Up Day” 2024 pada 28 September 2024 di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan.
Program Cintai Sungai Kita dapat diteruskan seperti yang dilaksanakan pada tahun – tahun sebelum ini sebagai simbolik kepada sambutan Hari Sungai Sedunia yang diadakan setiap tahun (hari Ahad terakhir bulan September).
Dalam masa yang sama, penganjuran World Clean Up Day 2024 berkonsepkan kepada pelaksanaan gotong-royong mega secara bersepadu di seluruh negara yang meliputi skop pembersihan kawasan sekitar, pembersihan dan penutupan tapak sampah haram, pelaksanaan kempen kitar semula dan kesedaran penggunaan plastik sekali guna.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah kayuhan santai, penanaman pokok berembang, pembersihan sungai dan memancing udang galah serta pertandingan mewarna. MPKS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada KDEB Waste Management Sdn Bhd yang telah menjadi penaja utama program murni ini.
Ucaptama perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha, Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Turut hadir, Yang Dihormatkan Dato' Mohamad Yaacob bin Dato' Ismail, Dato' Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Selangor dan Encik Mohd Idris bin Mohamed Yusop, Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management Sdn Bhd.